Jumaat, 22 April 2011

Kes Sarbaini: Polis rumus kematian mengejut, tiada elemen jenayah

Ahmad Sarbaini Mohamed
Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed, penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia, meninggal dunia kerana kecederaan pada bahagian kepala selepas jatuh daripada bahagian tinggi bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 6 April lalu.

Justeru kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah, kini terserah kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan susulan.

“(Dengan ini) saya minta semua spekulasi dihentikan kerana siasatan sudah dilengkapkan.

“Kertas siasatan akan dihantar kepada Pejabat Peguam Negeri minggu ini atau paling lewat minggu depan,” katanya.

Kata beliau, siasatan menunjukkan ia adalah kematian mengejut dan tiada elemen jenayah terlibat buat masa sekarang.

Zulkifli juga berkata punca kematian ditentukan selepas siasatan terperinci membabitkan pelbagai pihak termasuk polis, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Kimia.

Minggu lalu, keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini memberitahu The Malaysian Insider bahawa berkemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap SPRM jika hasil siasatan polis tidak memihak keluarga pegawai kastam itu.

Kata sumber, keluarga Ahmad Sarbaini sedang berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap SPRM atas sebab kelalaian serta mahu membersihkan dakwaan kononnya penolong pengarah kastam membunuh diri.

Ahmad Sarbaini ditemui mati di aras satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan 6 April lalu.

Dia merupakan salah seorang daripada 62 pegawai kastam yang menjadi tumpuan Operasi 3B kendalian SPRM dan beberapa agensi kerajaan yang lain.

Ahmad Sarbaini meninggalkan balu Maziah Manap, 50 dan lima anak.

Kematian Ahmad Sarbaini merupakan kejadian kedua dalam dua tahun ini membabitkan premis SPRM. Kes kematian Teoh Beng Hock, yang ditemui jatuh dari Plaza Masalam, yang menempatkan pejabat SPRM Selangor pada Julai 2009, masih disiasat oleh suruhanjaya diraja.

Laporan media sebelum ini menyebut polis telah mengambil keterangan daripada 40 individu bagi membantu siasatan kes kematian Ahmad Sarbaini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan