Sabtu, 9 April 2011

Benarkah Kematian Sarbani Konsisten Akibat Jatuh Bangunan Tinggi.

Kecederaan dialami Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed konsisten dengan akibat jatuh dari premis yang tinggi, kata polis hari ini.

Bagaimanapun Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah enggan berkata sama ada penolong pengarah kastam itu, yang ditemui mati di premis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Cheras kelmarin, turut mengalami kecederaan lain.

“Kecederaan dia alami konsisten dengan akibat jatuh dari kawasan (bangunan) tinggi. Tetapi kami hanya akan tahu punca kematian selepas ujian makmal,” kata beliau kepada pemberita di sini pagi ini.

Ketika ditanya sama ada Ahmad Sarbani ada mengalami kecederaan lain, beliau berkata, “saya tidak kata begitu dan saya tidak kata kecederaan (itu) adalah punca kematian (dia).”

Pegawai kastam berusia 56 tahun itu ditemui mati di tingkat satu bangunan SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane di sini.

Kelmarin, Zulkifli berkata ada kecederaan di bahagian kepala Ahmad Sarbani.

Hari ini beliau memberitahu bahawa enam pegawai SPRM telah dipanggil untuk diambil keterangan sejak kelmarin.

Bagaimanapun beliau enggan mengesahkan sama ada ia termasuk dua pegawai yang ditahan tugas oleh SPRM semalam.

Malah, Zulkifli juga berkata, hanya satu bedah siasat dikendalikan oleh doktor dan pakar di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Laporan media menyebut ketua unit forensik HUKM Prof Madya Dr Shahrom Abdul Wahid telah dipanggil untuk mengendalikan bedah siasat kedua semalam.

Jenazah Ahmad Sarbani berada di HUKM selama 24 jam sejak kejadian dan hanya diserahkan kepada keluarganya sekitar lima petang semalam.

Zulkifli juga berkata, insiden itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut bagi membolehkan polis “menyiasat kesemua aspek.”

“Jika siasatan kami menuju satu arah tertentu, kami akan mengklasifikasikan kemudian,” katanya lagi.
Bagaimanapun beliau tidak menyebut bila laporan makmal akan lengkap. (Insider)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan