Memaparkan catatan dengan label Polis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Polis. Papar semua catatan

Jumaat, 22 April 2011

Polis: Siasatan kematian Sarbani sudah lengkap

Polis sudah melengkapkan siasatan berhubung laporan kematian mengejut (SDR) pegawai kastam, Ahmad Sarbani Mohamed, dan kertas siasatan akan diserah kepada pejabat Peguam Negara selewat-lewatnya minggu ini atau minggu depan.

NONEKetua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata penelitian penuh yang dijalankan beberapa pihak termasuk polis, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan jabatan kimia merumuskan bahawa punca kematian pegawai kastam itu pada 6 April lalu adalah kerana kecederaan parah di kepala selepas terjatuh dari tempat tinggi.

Ditanya sekiranya wujud unsur jenayah dalam kejadian di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah di Jalan Cochrane itu, beliau berkata, siasatan masih tertumpu kepada SDR dan tiada peruntukan undang-undang lain yang digunapakai.

Beliau meminta supaya segala spekulasi mengenai kejadian itu dihentikan kerana siasatan di bawah SDR sudah dilengkapkan dan terpulang kepada pihak Peguam Negara sekiranya mereka hendak mengambil tindakan lanjut.

NONE"Saya berpuas hati dengan hasil siasatan ini, kami sudah peroleh laporan lengkap termasuk segala bukti, keterangan dari 48 saksi dan lakonan semula di tempat kejadian," katanya ketika ditemui selepas merasmikan sambutan Ulang Tahun Pasukan Kor Kadet Polis ke-41 di Tasik Titiwangsa di Kuala Lumpur.

Ahmad Sarbani, 56, yang bertugas di Pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu bangunan pejabat SPRM itu selepas dilaporkan pergi ke pejabat itu untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai kastam.

Terdahulu dalam majlis yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pelajaran Kuala Lumpur Mohd Adenan Deraman hari ini Zulkifli berkata, kor kadet polis menjadi pemangkin kepada remaja untuk tidak membabitkan diri dalam salahlaku pelajar, masalah disiplin dan jenayah ketika meningkat dewasa.

NONE"Kalau hendak kekalkan disiplin remaja, pembabitan diri dalam kor kadet polis dan unit beruniform lain dapat membantu mereka membentuk sahsiah diri yang baik. Jadi ketika dewasa mereka tidak terjebak kepada masalah sosial," katanya.

Beliau berkata, statistik jenayah indeks turun 10 peratus bagi tahun ini berbanding tahun lalu dan jenayah jalanan pula turun 21 peratus bagi tempoh yang sama.

Sementara itu, Mohd Adenan berkata, cabaran bagi pelajar di kawasan bandaraya adalah sangat tinggi dari segi pembentukan sahsiah diri dan disiplin, oleh itu penglibatan dalam aktiviti kokurikulum dapat mendidik mereka menjadi pelajar yang berdisiplin.

- Bernama

Isnin, 11 April 2011

Kandungan Telefon Bimbit Sarbani Disiasat.

Kandungan maklumat dalam telefon bimbit milik penolong pengarah kastam Selangor, yang ditemui mati di tingkat satu, pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Jalan Cochrane Rabu lepas, kini dalam siasatan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata telefon bimbit milik Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed itu antara bukti yang disiasat Unit Forensik selain rakaman CCTV bangunan pejabat itu dan bukti di tempat kejadian.

"Unit Forensik sentiasa mencari bukti-bukti penting bagi melengkapkan laporan mereka sama ada dari telefon bimbit, CCTV atau kembali semula ke tempat kejadian.

"Setiap hari memang ada petunjuk baru tapi kita tidak boleh dedahkan kerana boleh menganggu siasatan," katanya kepada pemberita di ibunegara hari ini.

Beliau berkata sejak kes itu dilaporkan, polis menjalankan sisatan terperinci dengan sentiasa memanggil individu baru atau memanggil semula mana-mana 16 individu yang telah diambil keterangan sebelum ini bagi membantu siasatan.

Ku berkata siasatan dapat diselesaikan apabila semua laporan forensik diperoleh dan keterangan saksi selesai diambil.

"Kita semua perlu tunggu. Jangan bagi kami 'deadline' bila kes boleh diselesaikan," katanya yang tidak menolak kemungkinan kes itu dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Ahmad Sarbani, 56, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur setelah dilaporkan datang untuk bertemu pegawai penyiasat berhubung siasatan kes rasuah membabitkan Kastam Diraja Malaysia.

Sabtu, 9 April 2011

Benarkah Kematian Sarbani Konsisten Akibat Jatuh Bangunan Tinggi.

Kecederaan dialami Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed konsisten dengan akibat jatuh dari premis yang tinggi, kata polis hari ini.

Bagaimanapun Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah enggan berkata sama ada penolong pengarah kastam itu, yang ditemui mati di premis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Cheras kelmarin, turut mengalami kecederaan lain.

“Kecederaan dia alami konsisten dengan akibat jatuh dari kawasan (bangunan) tinggi. Tetapi kami hanya akan tahu punca kematian selepas ujian makmal,” kata beliau kepada pemberita di sini pagi ini.

Ketika ditanya sama ada Ahmad Sarbani ada mengalami kecederaan lain, beliau berkata, “saya tidak kata begitu dan saya tidak kata kecederaan (itu) adalah punca kematian (dia).”

Pegawai kastam berusia 56 tahun itu ditemui mati di tingkat satu bangunan SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane di sini.

Kelmarin, Zulkifli berkata ada kecederaan di bahagian kepala Ahmad Sarbani.

Hari ini beliau memberitahu bahawa enam pegawai SPRM telah dipanggil untuk diambil keterangan sejak kelmarin.

Bagaimanapun beliau enggan mengesahkan sama ada ia termasuk dua pegawai yang ditahan tugas oleh SPRM semalam.

Malah, Zulkifli juga berkata, hanya satu bedah siasat dikendalikan oleh doktor dan pakar di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Laporan media menyebut ketua unit forensik HUKM Prof Madya Dr Shahrom Abdul Wahid telah dipanggil untuk mengendalikan bedah siasat kedua semalam.

Jenazah Ahmad Sarbani berada di HUKM selama 24 jam sejak kejadian dan hanya diserahkan kepada keluarganya sekitar lima petang semalam.

Zulkifli juga berkata, insiden itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut bagi membolehkan polis “menyiasat kesemua aspek.”

“Jika siasatan kami menuju satu arah tertentu, kami akan mengklasifikasikan kemudian,” katanya lagi.
Bagaimanapun beliau tidak menyebut bila laporan makmal akan lengkap. (Insider)